Sunday, February 12, 2012

HIJRAH : Langkah Mulakan Lembaran Baharu

Ketibaan tahun baharu bererti umur manusia semakin bertambah. Persoalannya apakah persiapan yang telah dilakukan untuk mengisi ruang umur kita agar kita tidak termasuk dalam golongan yang rugi. Anak-anak muda pewaris bangsa diseru berhijrah dan berfikiran matang sebelum memulakan sesuatu perkara. Kegiatan melepak dan berpeleseran di pusat membeli-belah tanpa tujuan hanya membuang masa. Adalah lebih mulia jika ia diganti dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membaca yang merupakan jambtan ilmu. Tentunya semakin banyak buku yang dibaca semakin bertambah pula nilai keintelektualan seseorang sehingga mampu dijadikan asas pertimbangan sebelum melakukan sesuatu perkara.
   

Friday, December 2, 2011

Penggunaan Kata Sendi Nama yang salah

Kata sendi nama ialah perkataan yang hadir di hadapan frasa nama. Jumlahnya agak besar dan tiap-tiap kata sendi nama mempunyai tugas yang berlainan dan kehadirannya dalam ayat sering disalahgunakan. Berikut dibincangkan beberapa kesalahan yang berkaitan dengan penggunaan kata sendi nama .

1. Kata sendi nama di

    Kata sendi nama di digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat.

Contoh:  di Pulau Pinang ,   di sekolah,   di pejabat,  di sana

Di tidak boleh digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menerangkan waktu, masa atau zaman. Contohnya

di pagi hari               sepatutnya      pada pagi hari
di kurun ke- 20                                pada kurun ke-20
di zaman ini                                     pada zaman ini

2.  Kata sendi nama ke

Salah satu kegunaan ke adalah di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat @ arah @ masa. Ke tidak boleh digunakan di hadapan kata nama yang merujuk manusia atau binatang.

Contoh :
ke pihak polis         sepatutnya        kepada pihak polis
ke Ali                                               kepada Ali 
ke kucing                                         kepada kucing

Thursday, March 10, 2011

Azam Tahun 2011

Sedar tak sedar dah masuk bulan Mac. Keputusan STPM 2010 pun sudah diumumkan. Tahniah kepada semua calon yang berjaya. Mudah-mudahan semua yang layak ke Universiti akan berjaya.
Kepada calon stpm 2011 , harapan pihak guru sangat tinggi agar anda semua  memperolehi keputusan yang lebih cemerlang dan berkualiti . Anda akan berjaya jika anda yakin ANDA BOLEH..

Saturday, June 5, 2010

Muhasabah Diri

Peperiksaan pertengahan tahun telah selesai. Cikgu-cikgu telah menyemak jawapan pelajar . Bagi  yang banyak kelas terpaksalah korbankan masa cuti sekolah ni untuk menyiapkannya.Malangnya apabila dah memeriksa jawapan pelajar terasa tak puas hati . Seolah-olah ada yang 'missing'. Jawapan pelajar tak mendalam , tak menjawab kehendak soalan. Cikgu tertanya-tanya apa halnya ? Dah ajar cara jawab, dah buat  ceramah teknik menjawab, dll. Banyak pelaburan dah dibuat oleh sekolah demi  memastikan pelajar berjaya.

Rasanya cikgu-cikgu  dah buat apa yang sepatutnya. Sekarang ni , pelajarlah yang perlu muhasabah diri. Jika hendak berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti, ubahlah sikap anda. Fokus dan ulangkaji serta buat latihan banyak-banyak sehingga anda menguasai satu-satu bab @ tajuk. Cikgu- cikgu hanya dapat membimbing dan mendoakan sahaja. Usaha lain terpulang kepada pelajar-pelajar sekalian.

Sunday, May 23, 2010

Kerjasama Kumpulan Belajar

Anda rasa bosan belajar ?
Banyak nota nak disiapkan?
Masa Peperiksaan semakin hampir .. Jangan panik..tarik nafas ..fikir kaedah pantas bagaimana nak selesaikan masalah anda.
Cuba amalkan petua-petua di bawah untuk kejayaan anda.

  1. Mesti ada kumpulan belajar
  2. Gabungkan semua kumpulan belajar.
  3. Dapatkan bantuan guru
  4. Kumpulkan nota ringkas daripada semua ahli kumpulan.
  5. Faham apa juga bahan yang dipelajari. Setelah faham lakukan sesuatu untuk ingat semua fakta yang sudah dipelajari. Bagaimana? Soal jawab dengan rakan anda atau ceritakan semula apa yang anda pelajari kepada rakan sekumpulan anda.
  6. Gunakan teknik belajar berkesan seperti peta minda, cerita kreatif dll.
  7. Tetapkan masa akhir untuk siapkan nota ringkas.
  8. Buat salinan untuk semua ahli kumpulan.
  9. Akhir sekali buat satu sesi khas membentangkan hasil kerja. Pilih nota ringkas paling ringkas, padat dan mudah diingati.

Selamat mencuba !

Guru Pembina Modal Insan

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun dengan tujuan mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit. Cara paling mudah bagi murid untuk mengenang pengorbanan guru adalah belajar rajin-rajin dan penuh komitmen, sekali gus sentiasa menjaga disiplin diri dan mematuhi segala peraturan sekolah. Sambutan Hari Guru juga diadakan bagi memberi peluang kepada pendidik bermuhasabah, sesuai dengan tema hari guru yang dipilih berdasarkan situasi semasa tiap-tiap tahun.

Dalam proses tranformasi kurikulum, tugas guru kini kian kompetetif . Oleh itu, guru sepatutnya harus berilmu dan pintar mengajar secara profesional. Guru yang cekap lagi berkesan ke arah melahirkan modal insan yang dinamik, bertenaga dan berwibawa sewajarnya dapat meningkatkan ilmu dan kelulusan dalam mata pelajaran mereka serta mahir pula dalam bidang tertentu khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaikan taraf akademik jangan pula mengharap ganjaran dan kenaikan pangkat secara spontan. Peningkatan akademik sepatutnya dapat meningkatkan keazaman untuk berkhidmat bakti yang terbaik kepada anak-anak didik kita. Hal ini, dapat meningkatkan martabat profesion keguruan pada pandangan masyarakat.

Guru selaku pendidik perlu mampu berfikir secara kreatif, inovatif, kritikal dan analitikal. Lantaran pelajar itu insan biasa, maka guru perlu memahirkan diri dalam pengendalian dan pengurusan bagi mengelakkan jurang pemisah mereka dengan anak didik. Guru seharusnya ada rangkaian hubungan yang luas sekali gus dapat bekerjasama secara aktif, profilik dan profesioanal serta bertukar-tukar fikiran secara matang dan terbuka dalam penyelesaian masalah yang tertentu dengan rakan profesional yang lain di luar alam persekolahan. Ertinya, guru perlu berfikir di luar kotak guru dan perguruan. Dalam hal ini, guru perlu banyak membaca dan mencari maklumat terkini agar kita sentiasa bergerak seiring dengan dasar-dasar pendidikan terkini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warga guru melaksanakan dasar dan elakkan mempertikaikan dasar kerana kita tidak mungkin berkuasa untuk mengubahnya.

Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab dan amanah daripada Allah swt. dengan ikhlas untuk kesejahteraan generasi masa depan negara. Allah akan memberi ganjaran yang setimpal dengan usaha para guru sekalian.

HUKUM D-M

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama.

Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah.
Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’.
Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M

Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’.

Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua.
Contohnya:Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu

Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.

Ulasan:
Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-MDalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.

Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;
Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium•

Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

( Dipetik dpd Blog Azmi Misron )