Sunday, May 23, 2010

Guru Pembina Modal Insan

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun dengan tujuan mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit. Cara paling mudah bagi murid untuk mengenang pengorbanan guru adalah belajar rajin-rajin dan penuh komitmen, sekali gus sentiasa menjaga disiplin diri dan mematuhi segala peraturan sekolah. Sambutan Hari Guru juga diadakan bagi memberi peluang kepada pendidik bermuhasabah, sesuai dengan tema hari guru yang dipilih berdasarkan situasi semasa tiap-tiap tahun.

Dalam proses tranformasi kurikulum, tugas guru kini kian kompetetif . Oleh itu, guru sepatutnya harus berilmu dan pintar mengajar secara profesional. Guru yang cekap lagi berkesan ke arah melahirkan modal insan yang dinamik, bertenaga dan berwibawa sewajarnya dapat meningkatkan ilmu dan kelulusan dalam mata pelajaran mereka serta mahir pula dalam bidang tertentu khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaikan taraf akademik jangan pula mengharap ganjaran dan kenaikan pangkat secara spontan. Peningkatan akademik sepatutnya dapat meningkatkan keazaman untuk berkhidmat bakti yang terbaik kepada anak-anak didik kita. Hal ini, dapat meningkatkan martabat profesion keguruan pada pandangan masyarakat.

Guru selaku pendidik perlu mampu berfikir secara kreatif, inovatif, kritikal dan analitikal. Lantaran pelajar itu insan biasa, maka guru perlu memahirkan diri dalam pengendalian dan pengurusan bagi mengelakkan jurang pemisah mereka dengan anak didik. Guru seharusnya ada rangkaian hubungan yang luas sekali gus dapat bekerjasama secara aktif, profilik dan profesioanal serta bertukar-tukar fikiran secara matang dan terbuka dalam penyelesaian masalah yang tertentu dengan rakan profesional yang lain di luar alam persekolahan. Ertinya, guru perlu berfikir di luar kotak guru dan perguruan. Dalam hal ini, guru perlu banyak membaca dan mencari maklumat terkini agar kita sentiasa bergerak seiring dengan dasar-dasar pendidikan terkini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warga guru melaksanakan dasar dan elakkan mempertikaikan dasar kerana kita tidak mungkin berkuasa untuk mengubahnya.

Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab dan amanah daripada Allah swt. dengan ikhlas untuk kesejahteraan generasi masa depan negara. Allah akan memberi ganjaran yang setimpal dengan usaha para guru sekalian.

No comments:

Post a Comment