Saturday, June 5, 2010

Muhasabah Diri

Peperiksaan pertengahan tahun telah selesai. Cikgu-cikgu telah menyemak jawapan pelajar . Bagi  yang banyak kelas terpaksalah korbankan masa cuti sekolah ni untuk menyiapkannya.Malangnya apabila dah memeriksa jawapan pelajar terasa tak puas hati . Seolah-olah ada yang 'missing'. Jawapan pelajar tak mendalam , tak menjawab kehendak soalan. Cikgu tertanya-tanya apa halnya ? Dah ajar cara jawab, dah buat  ceramah teknik menjawab, dll. Banyak pelaburan dah dibuat oleh sekolah demi  memastikan pelajar berjaya.

Rasanya cikgu-cikgu  dah buat apa yang sepatutnya. Sekarang ni , pelajarlah yang perlu muhasabah diri. Jika hendak berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti, ubahlah sikap anda. Fokus dan ulangkaji serta buat latihan banyak-banyak sehingga anda menguasai satu-satu bab @ tajuk. Cikgu- cikgu hanya dapat membimbing dan mendoakan sahaja. Usaha lain terpulang kepada pelajar-pelajar sekalian.

Sunday, May 23, 2010

Kerjasama Kumpulan Belajar

Anda rasa bosan belajar ?
Banyak nota nak disiapkan?
Masa Peperiksaan semakin hampir .. Jangan panik..tarik nafas ..fikir kaedah pantas bagaimana nak selesaikan masalah anda.
Cuba amalkan petua-petua di bawah untuk kejayaan anda.

  1. Mesti ada kumpulan belajar
  2. Gabungkan semua kumpulan belajar.
  3. Dapatkan bantuan guru
  4. Kumpulkan nota ringkas daripada semua ahli kumpulan.
  5. Faham apa juga bahan yang dipelajari. Setelah faham lakukan sesuatu untuk ingat semua fakta yang sudah dipelajari. Bagaimana? Soal jawab dengan rakan anda atau ceritakan semula apa yang anda pelajari kepada rakan sekumpulan anda.
  6. Gunakan teknik belajar berkesan seperti peta minda, cerita kreatif dll.
  7. Tetapkan masa akhir untuk siapkan nota ringkas.
  8. Buat salinan untuk semua ahli kumpulan.
  9. Akhir sekali buat satu sesi khas membentangkan hasil kerja. Pilih nota ringkas paling ringkas, padat dan mudah diingati.

Selamat mencuba !

Guru Pembina Modal Insan

Hari Guru disambut pada 16 Mei setiap tahun dengan tujuan mengenang jasa pendidik yang banyak berkorban dari segi masa, tenaga, dan wang ringgit. Cara paling mudah bagi murid untuk mengenang pengorbanan guru adalah belajar rajin-rajin dan penuh komitmen, sekali gus sentiasa menjaga disiplin diri dan mematuhi segala peraturan sekolah. Sambutan Hari Guru juga diadakan bagi memberi peluang kepada pendidik bermuhasabah, sesuai dengan tema hari guru yang dipilih berdasarkan situasi semasa tiap-tiap tahun.

Dalam proses tranformasi kurikulum, tugas guru kini kian kompetetif . Oleh itu, guru sepatutnya harus berilmu dan pintar mengajar secara profesional. Guru yang cekap lagi berkesan ke arah melahirkan modal insan yang dinamik, bertenaga dan berwibawa sewajarnya dapat meningkatkan ilmu dan kelulusan dalam mata pelajaran mereka serta mahir pula dalam bidang tertentu khususnya teknologi maklumat dan komunikasi. Pembaikan taraf akademik jangan pula mengharap ganjaran dan kenaikan pangkat secara spontan. Peningkatan akademik sepatutnya dapat meningkatkan keazaman untuk berkhidmat bakti yang terbaik kepada anak-anak didik kita. Hal ini, dapat meningkatkan martabat profesion keguruan pada pandangan masyarakat.

Guru selaku pendidik perlu mampu berfikir secara kreatif, inovatif, kritikal dan analitikal. Lantaran pelajar itu insan biasa, maka guru perlu memahirkan diri dalam pengendalian dan pengurusan bagi mengelakkan jurang pemisah mereka dengan anak didik. Guru seharusnya ada rangkaian hubungan yang luas sekali gus dapat bekerjasama secara aktif, profilik dan profesioanal serta bertukar-tukar fikiran secara matang dan terbuka dalam penyelesaian masalah yang tertentu dengan rakan profesional yang lain di luar alam persekolahan. Ertinya, guru perlu berfikir di luar kotak guru dan perguruan. Dalam hal ini, guru perlu banyak membaca dan mencari maklumat terkini agar kita sentiasa bergerak seiring dengan dasar-dasar pendidikan terkini. Adalah menjadi tanggungjawab setiap warga guru melaksanakan dasar dan elakkan mempertikaikan dasar kerana kita tidak mungkin berkuasa untuk mengubahnya.

Marilah sama-sama kita menunaikan tanggungjawab dan amanah daripada Allah swt. dengan ikhlas untuk kesejahteraan generasi masa depan negara. Allah akan memberi ganjaran yang setimpal dengan usaha para guru sekalian.

HUKUM D-M

Hukum D-M digolongkan dalam Frasa Nama.

Kerap kita mendengar orang berkata ‘goreng pisang’ untuk merujuk kepada frasa nama ‘pisang yang digoreng’. Seharusnya bentuk yang betul ialah ‘pisang goreng’ kerana kita merujuk kata nama ‘pisang’ sedangkan perkataan ‘goreng’ merujuk kata kerja ‘goreng’ dan merupakan penerang bagi perkataan ‘pisang’ dalam frasa berkenaan. Namun disebabkan kebiasaan pertuturan dan diterima, tambahan pula difahami oleh masyarakat, sesetengah kita menerimanya sebagai betul sedangkan hakikatnya dari sudut tatabahasa pembentukannya adalah salah.
Hal yang sama dapat dilihat pada frasa ‘lain-lain hal’ sedangkan hakikatnya kita merujuk ‘hal’ bukannya ‘lain-lain’. Seharusnya pembetukan frasa berkenaan ialah ‘hal-hal lain’ kerana ‘hal’ tersebut yang banyak bukannya ‘lain’.
Hal ini berpunca daripada kebiasaan sebutan dan ‘sedap’ bunyi sebutan yang diterima oleh penutur lisan bahasa Melayu kerana pada sesetengah keadaan sebutannya konsisten. Misalnya kita tidak akan menyebut ‘tua kelapa’ bagi merujuk ‘kelapa yang sudah tua’, sebaliknya dalam apa-apa juga keadaan kita akan menyebut ‘kelapa tua’ bagi merujuk frasa nama berkenaan.

Pembentukan Hukum D-M

Pada dasarnya, terdapat peraturan tertentu untuk mengatur susunan kedudukan konstituen-konstituen kata nama dalam pembentukan frasa nama. Peraturan-peratran tersebut menentukan perkara yang hadir dahulu dan yang perlu hadir kemudian ataupun selepas konstituen pertama. Hukum D-M tergolong dalam bahagian frasa nama. Pada dasarnya (D) merujuk aspek yang ‘Diterangkan’ manakala (M) merujuk aspek yang ‘Menerangkan’.

Menurut hukum tatabahasa, sesuatu perkara yang mahu ‘diterangkan’ harus dinyatakan dahulu sebelum disusuli perkataan yang ‘menerangkan’. Misalnya apabila kita mahu merujuk pisang yang digoreng, seharusnya kita menyatakan ‘pisang’ sebagai kata nama yang mahu diterangkan barulah disusuli ‘goreng’ sebagai perkataan yang menerangkan pisang berkenaan. Maka, seharusnya susunan frasanya menjadi ‘pisang goreng’ bukannya ‘goreng pisang’ kerana ‘goreng pisang’ merujuk ‘goreng’ sebagai perkataan yang mahu diterangkan iaitu kata kerja dan ‘pisang’ sebagai kata yang menerangkan perkataan goreng. Maka apabila disebut ‘goreng pisang’ kita seharusnya merujuk frasa kerja (perbuatan menggoreng pisang) bukannya frasa nama.Dengan kata lain, dalam pembentukan hukum D-M, unsur yang ‘Diterangkan’ merupakan unsur inti yang diletakkan pada kedudukan pertama dan unsur yang ‘Menerangkan’ merupakan unsur penerang yang diletakkan pada kedudukan kedua.
Contohnya:Bil. Unsur Diterangkan (D) Unsur Menerangkan (M) Keterangan Frasa
1 - Kelapa - tua - buah kelapa yang sudah tua
2 - Orang - muda - orang yang masih muda
3 - Guru - sains - guru yang mengajarkan sains
4 - Serbuk - cili - serbuk yang dibuat daripada cili
5 - Sos - tomato - sos yang dibuat daripada tomato
6 - Restoran - Zaini - restoran kepunyaan Zaini
7 - Kedai Buku - Harris - kedai buku kepunyaan Harris
8 - Keledek - goreng - keledek yang telah digoreng
9 - Kacang - rebus - kacang yang sudah direbus
10 - Rendang - daging - rendang yang dibuat daripada daging.
11 - Susu - lembu - susu yang diambil daripada lembu
12 - Lembu - susu - lembu yang mengeluarkan susu

Kebanyakan kekeliruan yang timbul dikenal pasti berpunca daripada kebiasaan sebutannya dalam bahasa Inggeris yang struktur pembentukannya berbeza daripada struktur Bahasa Melayu. Misalnya dalam bahasa Inggeris ‘Restoran Yusof’ disebut sebagai ‘Yusof Restaurant’. Hakikatnya dalam bahasa Melayu kita memperkatakan ‘Restoran’ yang dimiliki oleh Yusof, maka seharusnya kita meletakkan unsur ‘Restoran’ pada kedudukan pertama sebagai aspek yang ‘Diterangkan’ barulah diikuti oleh ‘Yusof’ sebagai unsur yang ‘Menerangkan’ iaitu yang memiliki restoran berkenaan. Frasa berkenaan seharusnya disebut sebagai ‘Restoran Yusof’. Dari sudat makna, jika disebut ‘Yusof Restoran’, maka sebenarnya kita merujuk kepada ‘Yusof’ sebagai ‘restoran’. Bukankah perkara ini ganjil kerana Yusof ialah manusia bukannya sebuah restoran.
Dalam sesetengah keadaan, terdapat frasa yang boleh disusun secara terbalik tetapi membentuk makna yang berbeza, bergantung kepada unsur yang disebut dahulu. Misalnya frasa nama ‘susu lembu’ merujuk maksud ‘susu yang diambil daripada lembu’. Manakala ‘lembu susu’ merujuk maksud ‘lembu yang dipelihara untuk tujuan mendapatkan susunya’. Maka dari segi ayat haruslah disebut mengikut maksud yang ingin disampaikan. Contohnya;1. Ahmad minum susu lembu pada setiap pagi.2. Ahmad memelihara beberapa ekor lembu susu.

Ulasan:
Ayat 1 merujuk kepada susu. Manakala ayat 2 merujuk kepada lembu yang dipelihara bagi mendapatkan susunya. Maka apabila ayat 1 diubah kepada ‘lembu susu’ maka dari segi maksud, maknanya agak ganjil kerana tidak mungkin ‘Ahmad minum lembu’ sedangkan hakikatnya ‘Ahmad minum susu’. Manakala ayat 2 pula jika diubah kepada ‘susu lembu’ juga menimbulkan kekacauan maksud ayat kerana tidak mungkin ‘Ahmad memelihara susu’, sedangkan maksud yang tepat ialah “Ahmad memelihara lembu’.

Kekeliruan Hukum D-MDalam pembentukan frasa nama yang berkaitan dengan Hukum D-M, terdapat beberapa kekeliruan kerana kebiasaan penggunaan yang diterima pakai dalam pertuturan harian sebagai frasa yang betul. Hal ini berpunca daripada pemahaman masyarakat (masyarakat memahami frasa tersebut) terhadap frasa berkenaan, sedangkan hakikatnya dari segi hukum tatabahasa perkara ini menyalahi hukum pembentukan frasa nama.

Antara frasa nama yang kerap menimbulkan kekeliruan ialah;
Bil. Bentuk Yang Salah Bentuk Yang Betul
1. - lain-lain hal - hal-hal lain
2. - lain-lain perkara - perkara-perkara lain
3. - lain-lain masalah - masalah-masalah lain
4. - lain-lain kata - kata-kata lain
5. - warung goreng pisang - warung pisang goreng
6. - Adnin Kedai Runcit - Kedai Runcit Adnin
7. - tomato sos - sos tomato
8. - pencuci serbuk - serbuk pencuci
9. - Tan Klinik Gigi - Klinik Gigi Tan
10. - petrolium gas - gas petrolium•

Semua bentuk di atas bertentangan dengan pembentukan hukum D-M dari segi maksud frasa berkenaan kerana unsur utama (‘Diterangkan’) terletak di belakang unsur yang ‘Menerangkan’. Semua bentuk di atas merupakan terjemahan terus mengikut struktur bahasa Inggeris.

( Dipetik dpd Blog Azmi Misron )

Saturday, May 22, 2010

Industri Pelancongan

BAHAN UNTUK PENULISAN KARANGAN
PELANCONGAN
sumber: http://mindabahasa.wordpress.com/2008/06/

Pelancongan merupakan industri perkhidmatan utama yang kian berkembang maju dan mendatangkan keuntungan besar dalam bentuk tukaran asing serta memasyhurkan Malaysia di mata dunia. Pada tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan RM20 bilion, termasuk RM17 bilion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut melebihi jangkaan 6.4 juta pelancong yang diramalkan akan datang ke Malaysia. Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur - selepas China dan Hong Kong.* Malaysia merupakan destinasi pelancongan tropika indah yang sangat berpotensi di Asia yang bukan sahaja dapat menarik pelancong antarabangsa tetapi juga menawan warga
tempatan. ·

Pelancongan menjadi suatu bidang pelaburan bijak yang dapat memacu pertumbuhan industri-industri berkaitan yang lain yang kesemuanya berperanan sebagai wahana dalam pembangunan mega Malaysia menuju negara maju dalam abad ini.· Potensi industri pelancongan sebagai penjana ekonomi baru negara hanya dapat direalisasikan jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri pelancongan diberi penekanan yang sewajarnya. Isu-isu seperti pelancongan eko, alam sekitar, visa, kemudahan lapangan terbang, kebersihan persekitaran, sistem pengangkutan dan keselamatan pelancong, semuanya menyumbang secara positif dan negatif kepada jumlah pelancong yang melawat Malaysia.·

Kejayaan industri pelancongan tidak semata-mata bergantung kepada kempen dan promosi galakan (melalui pengiklanan yang melibatkan perbelanjaan berjuta-juta ringgit) di dalam dan luar negara. Kejayaan ini juga sedikit sebanyak bergantung kepada `cerita-cerita’ (pengalaman-pengalaman) para pelancong yang sudah melawat Malaysia. Pelancong-pelancong yang mempunyai pengalaman yang baik melancong di Malaysia, tentunya akan datang semula dan juga akan memberitahu rakan-rakan mereka. Inilah kempen dan promosi galakan yang terbaik.· Jika diperhalus, banyak yang perlu dibaiki dan dibetulkan. Insiden-insiden pelancong ditipu oleh pemandu teksi, kekotoran pusat-pusat makanan, kelemahan sistem pengangkutan awam, pencemaran sungai dan kawasan rekreasi, harga tidak berpatutan dan seumpamanya tidak menyumbang kepada pengalaman yang baik kepada para pelancong.· Aduan-aduan daripada para pelancong mesti dilihat sebagai cara terbaik untuk memajukan industri pelancongan kita lagi. Satu anjakan sikap perlu berlaku dalam memberi layanan terbaik kepada pelancong.· Siri-siri dialog dan pertemuan lebih kerap perlu diadakan dengan semua kementerian, jabatan, agensi dan sektor swasta bagi merangka perancangan dan program bersepadu bagi memajukan industri pelancongan tempatan. Usaha-usaha menggalakkan pelancongan tidak akan membuahkan hasil jika setiap pihak di dalam industri berkenaan tidak menjalankan peranan mereka dengan sebaik-baiknya.

Pelbagai kegiatan dalam usaha mencari jalan memajukan industri pelancongan di negara ini dijalankan. Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) yang mempunyai pengaruh besar dalam industri pelancongan di rantau ini telah mengadakan persidangan tahunannya di sini. Forum Pelancongan Majlis Ekonomi Asia Pasifik (APEC) Kedua turut diadakan. Begitu juga dengan Pesta Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Antarabangsa Malaysia (MATTA) 2001 telah dianjurkan di sini.· Atas kesedaran ini juga, kerajaan telah mengadakan pelbagai program untuk memajukan industri pelancongan. Kejayaan industri ini bergantung kepada usaha pacuan sektor swasta dengan sokongan sektor awam. Usaha sektor awam atau kerajaan ini tidak akan berjaya tanpa digerakkan dan didorong oleh sektor swasta. Sektor swastalah yang menggerakkan perniagaan pelancongan sama ada daripada kalangan ejen pelancongan, pengangkutan, perhotelan, rekreasi, penyusun acara, ataupun pusat-pusat membeli-belah.· Pihak kerajaan boleh menggalakkan perniagaan industri-industri ini seperti mengadakan pelbagai kempen serta menyediakan dan mencekapkan infrastruktur.· Namun begitu, pada keseluruhannya, kita percaya bahawa kejayaan sebenar industri pelancongan memerlukan kesedaran dan kerjasama rakyat Malaysia sendiri. Selain pihak kerajaan dan sektor swasta bekerjasama untuk memajukan pelancongan, rakyat juga harus bersedia untuk memiliki sikap menyumbang kepada industri ini.· Contohnya, bermula daripada kesedaran memelihara kebersihan di tempat-tempat awam hinggalah kepada mengambil kira soal pelancongan negara dalam membuat sebarang keputusan semasa menjalankan kerja-kerja seharian.Untuk lebih memahami keperluan pelancong, rakyat negara ini juga harus sendiri menjadi pelancong dalam negeri.· Dengan menjadi pelancong dalam negeri, bukan saja boleh meningkatkan kualiti hidup diri sendiri dan keluarga melalui rekreasi pelancongan, tetapi juga dapat mengukuhkan kekuatan ekonomi industri itu.· Apabila tempat-tempat pelancongan di dalam negeri menjadi lebih kukuh, maka ini dapat mempertingkatkan kualiti perkhidmatannya yang akan memudahkannya menerima pelancong luar negara. Selain itu, dengan sering kali melakukan perjalanan, seseorang itu akan memperoleh idea-idea baru bagaimana hendak meningkatkan industri pelancongan di negara ini.· Selain dari sudut komersial pelancongan, peningkatan kunjungan pendatang luar ke negara ini dengan sendirinya akan memasyhurkan kemakmuran Malaysia di mata dunia.Pelancongan berasaskan pertanian untuk memberi pengalaman kepada pengguna merasai hidup kampung dan merasai nikmat alam semula jadi melawat ladang buah-buahan, ladang sayur-sayuran, ternakan ikan dan sebagainya.

FAKTOR-FAKTOR YANG MENJADIKAN SESUATU KAWASAN BERPOTENSI SEBAGAI KAWASAN PELANCONGAN

Bentuk muka bumi:

Bergunung ganang; Aktiviti mendaki gunung / tracking+cth gunung.Udara yang nyaman dengan suhu yang rendah dan tumbuhan semulajadi yang menghijau.
Jeram dan air terjun untuk mandi manda + cth lokasi.
Gizar / kawah gunung berapi + cth gunung berapi.
Pantai yang berpasir sesuai untuk bersantai + cth lokasi.
Pulau / Laut yang jernih dan mempunyai terumbu karang sesuai untuk selam skuba +cth lokasi.
Kawasan paya yang kaya dengan reptilia spt buaya.
Tasik buatan manusia / semula jadi sesuai untuk memancing/ berperahu+ cth tasik.
Sungai yang sesuai untuk berkayak / memancing + cth sungai.

Iklim:
Suhu 27 0C dan panas sepanjang tahun sesuai untuk mandi-manda +cth nama pantai.Suhu bawah 0° C pada musim dingin menyebabkan salji turun dan sesuai untuk ski.

Pemandangan yang menarik:
Tumbuhan semula jadi yang menghijau dan menyamankan spt terdapat bunga reflesia.Pandangan batu kapur spt stalaktit dan stalakmit.Gua yang menarik + cth gua.Kesan sejarah + cth lokasi.Haiwan spt penyu bertelur +cth pantai.Zoo yang menarik minat pelajar sekolah; muzium + cth.Pusat Sains spt roket ke angkasa, astronomi + ctli lokasi.

Kemudahan-kemudahan asas yang mencukupi spt hotel bertaraflima bintang + cth, padang golf,pusat membeli-belah + cth; penukar wang asing.Ketersampaian - kawasan pelancongan dihubungi dengan jalan raya keretapi /jalan laut:, feri / lapangan terbang +cth lapangan terbang / pelabuhan.

Sikap rakyat yang peramah dan masyarakat majmuk menarik pelancong.Peranan agensi + (nama agensi + peranan).
Peranan kerajaan spt intensif cukai dari kerajaan, persidangan antarabangsa.Kerjasama serantau spt Tahun Melawat ASEAN .

Kedudukan yang strategik / laluan perdagangan timur-barat.Modal mencukupi untuk membina hotel, chalet dari pelabur tempatan / swasta +Kebudayaan tempatan / seni, budaya,perayaan+cth.

Harga barangan yang murah/ dikecualikan cukai menarik pelancong.

Keselamatan terjamin/ pelancong merasa selamat/keselamatan pelancong.

KEPENTINGAN PELANCONGAN

Pendapatan negara + RM? .
Memajukan bandar-bandar pelancongan spt Melaka, Kuala Kangsar.
Peluang pekerjaan bagi penduduk sekitar +cth.
Pemangkin kepada pembangunan kawasan pelancongan spt infrastruktur / kemudahan asas.
Memajukan / menaikkan taraf jalan raya / keretapi / pelabuhan / lapangan terbang.
Menggalakkan industri kraftangan / desa.Memajukan bekas lombong spt dijadikan padang golf, rekreasi +cth.
Hubungan dua hala dengan negara asal pelancong.

KESAN PELANCONGAN TERHADAP ALAM SEKITAR

Penebangan hutan untuk membuka kawasan pelancongan spt membina hotel, jalan raya, taman rekreasi padang golf telah mengakibatkan pelbagai.
Kepupusan pokok berharga + cth pokok.
Peningkatan kadar suhu kerana kurangnya proses fotosintesis yang menyebabkan bertambahnya kandungan karbon dioksida, kurangnya proses sejat peluhan;
muka bumi terdedah kepada sinaran matahari.
Habitat haiwan terganggu rantaian makanan haiwan terganggu -haiwan pupus + cth haiwan.
Kemusnahan kawasan tadahan hujan.Tanah terdedah kepada hakisan hujan dan matahari; berlaku tanah runtuh gelangsar tanah.
Bahan terhakis dialirkan ke sungai menyebabkan sungai keruh, sungai cetek, banjir kilat mudah berlaku.
Sungai/pantai tercemar kerana pembuangan sampah oleh pelancong / hotel + cth sungai / pantai.
Pembinaan hotel di tepi pantai telah menyebabkan laut tercemar dengan bahan hakisan.Kumbahan dari hotel dan chalet yang dialirkan ke sungai dan laut telah mencemarkan sungai dan laut berkenaan + cth lokasi / sungai.
Terumbu karang pupus kerana diambil sebagai cenderamata.
Kenderaan yang membawa pelancong mengeluarkan karbon monoksida yang mencemarkan udara; menyumbang kepada kesan rumah hijau; bunyi bising.
Pelancongan di kawasan gua / kawasan batu kapur telah mengganggu hidupan spt kelawar.

USAHA MEMAJUKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Membanyakkan kawasan pelancongan spt pulau-pulau yang airnya jernih dan berbatu karang + cth.
Membina banyak hotel yang bertaraf lima bintang, padang golf + cth.Menambah lesen agensi pelancongan.
Pemuliharaan kawasan-kawasan bersejarah, kawasan pelancongan sedia ada+cth.
Membuka kawasan hutan simpan untuk trekking + cth
Membuka kawasan tasik untuk aktiviti memancing,bermain bot + cth tasik.Membina chalet yang sewanya rendah untuk menarik pelancong.
Promosi oleh agensi kerajaan (agensi + usaha).
Mengadakan persidangan / pameran antarabangsa + cth.
Membaiki jalan raya / keretapi / lapangan terbang / pelabuhan supaya kawasan pelanconan mempunyai darjah ketersampaian yang tinggi spt keretapi Express Langkawi penerbangan MAS ke destinasi antarabangsa.
Memberi pengurangan cukai kepada syarikat pelancongan untuk memajukan kawasan baru / membina hotel kos sederhana.Mengadakan kedai bebas cukai + cth lokasi, polis pelancong untuk menjamin keselamatan pelancong.

Kata Bantu

Kata bantu boleh digunakan untuk maksud 'keizinan'.
Sebagai contoh :
1. Kamu boleh pergi ke tandas jika semua latihan telah disiapkan.
2. Mereka tidak boleh memasuki kawasan itu kerana berbahaya.

Kata bantu dapat pula digunakan untuk maksud 'keupayaan'.
Sebagai contoh :
1. Adik sudah dapat menunggang basikal itu.
2. Ayah masih tidak dapat melakukan kerja yang berat kerana badannya masih lemah.

(Dipetik daripada ruangan Soal Jawab Bahasa, oleh Munsyi Dewan, Pelita Bahasa Mei 2010) ...read more ⇒

Kata Pemeri

Kata pemeri ialah perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Terdapat dua jenis kata pemeri, iaitu 'ialah' dan 'adalah'.
Kata pemeri 'ialah' diletakkan di hadapan frasa nama, manakala kata pemeri 'adalah' diletakkan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.
Kata pemeri tidak boleh diletakkan dihadapan kata kerja atau frasa kerja.

Sebagai Contoh :
1. Wanita yang memakai kebaya itu ialah ibu saya.
2. Faris adalah antara pelajar yang cemerlang di sekolah ini.
3, Sate ialah makanan kegemaran saya.
4. Tarikh tutup peraduan itu adalah pada hari Rabu

Friday, May 21, 2010

Cara menangani tekanan di tempat kerja

Tekanan atau stress di tempat kerja sering dianggap membebankan, menyusahkan malah menyesakkan emosi, akal dan fikiran. Namun dari sudut yang lain, tekanan inilah yang memberi kesan positif kepada pekerja. Tekanan boleh dianggap sebagai satu mekanisme yang boleh menggerakkan motivasi pekerja untuk mencapai sesuatu tujuan. Tekanan adalah perlu untuk meningkatkan daya produktiviti pekerja. Walau bagaimanapun tekanan yang berlebihan boleh memberi kesan negatif kepada kita.
Dalam menghadapi tekanan kerja umat Islam perlu yakin dan percaya bahawa itu adalah ujian Allah swt. Dengan mengubah persepsi kita terhadap tekanan yakni dengan menukar tekanan menjadi cabaran, melihat masalah sebagai peluang dan mengubah tekanan menjadi rangsangan dalam alam pekerjaan, kita akan terdorong untuk melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh.
Mengikut Imam Tirmizi. Nabi Muhammad saw. bersabda bermaksud, "Manfaatkan 5 sebelum datang 5 , masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk dan masa hidupmu sebelum mati."
Kesimpulan hadis ini menjelaskan bahawa mereka yang berjaya ialah mereka yang mempunyai perancangan awal dalam hidup dan merupakan golongan yang proaktif serta ingin memanfaatkan peluang hari ini sebelum tiba hari esok. Dengan itu, kerja-kerja yang dilaksanakan dengan penuh perancangan , tiada bertangguh, tiada kerja pada saat-saat akhir, sekaligus mengelakkan suasana kelam kabut dan tergesa-gesa yang melahirkan tekanan kepada diri.